SEJARAH ST. JOHN AMBULANS MALAYSIA SABAH
    KAWASAN PANTAI BARAT SELATAN

zabad photo

    St John Ambulans Malaysia Negeri Sabah (SJAMS) telah ditubuhkan pada tahun 1952 dan negeri Sabah masih lagi dikenali sebagai North Borneo (Borneo Utara). Pada masa itu pergerakan SJAMS beribu pejabat di Kota Kinabalu dan masa itu bandar Kota Kinabalu masih dikenali sebagai Jesselton.

    Pada tahun 1953 sebuah bangunan ibu pejabat SJAM telah didirikan bagi memudahkan sistem perjalanan aktiviti-aktivitinya. Ibu pejabat itu telah didirikan di Batu 3, Jalan Edwina, Bulatan Sembulan, Kota Kinabalu.

  Kawasan Sandakan telah ditubuhkan pada Febuari 1953 dan Kawasan Tawau pada bulan Mac pada tahun yang sama. Ini bermakna SJAM negeri Sabah telah berkembang. Bangunan ibu pejabat SJAM yang baru (Kompleks Badan-badan Sukarela) dibina oleh Kerajaan Negeri Sabah dan telah digunakan pada awal tahun 1986.

Ihsan Abdullah    SJAMS Kawasan Pantai Barat Selatan sudah lama bergiat aktif yang beribu pejabat di Jalan Edwina Bulatan Sembulan. Tahun di mana Kawasan ini ditubuhkan tidak dapat dinyatakan. Tetapi berdasarkan beberapa sumber yang mengatakan bahawa Kawasan Pantai Barat Selatan telah ditubuhkan pada tahun 1952. Pada zaman lalu, Kawasan Pantai Barat Selatan adalah dari daerah Tenghilan hingga daerah Sipitang. Pada masa kini Kawasan Pantai Barat Selatan telah mengembangkan sayapnya di mana daerah Ranau dan Tenom dinaungkan di bawah pentadbiran Kawasan Pantai Barat Selatan. Kini SJAMS Kawasan Pantai Barat Selatan mempunyai 29 Divisi Kadet, 15 Divisi Junior (St. John Muda) dan 2 Kor Maktab Perguruan.

    Sehingga kini SJAMS Kawasan Pantai Barat Selatan masih giat menjalankan aktivitinya. Antara aktiviti yang giat dijalankan ialah perkhidmatan Ambulans Kecemasan, Pertugasan Siap Sedia dan Kursus Pertolongan Cemas bagi ahli dan orang awam. Adalah menjadi harapan dan impian warga SJAMS Kawasan Pantai Barat Selatan agar menjadi sebuah Kawasan yang disegani dan digeruni dari masa ke semasa.

-IRWAN SALISAH -
10 MEI 2000


Muka Utama